GAMBAR ini dipetik daripada rakaman CCTV.
Ravale Savarinathan


POLIS mencari lelaki yang perbuatan luar tabiinya terhadap haiwan dirakam CCTV satu premis perniagaan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Rabu lalu.

Rakaman satu minit 37 saat yang menjadi viral itu memaparkan lelaki mendukung anjing, duduk di depan pintu pagar premis aksesori kereta dan melakukan perbuatan jijik terhadap anjing itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar, ketika dihubungi, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian.

"Bagaimanapun, polis akan cuba mengenalpasti dan mengesan lelaki dalam rakaman CCTV itu,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai aksesori yang enggan dikenali ketika ditemui, hari ini, berkata kejadian berkenaan berlaku pada hari Deepavali, kira-kira 8 pagi.

Menurutnya, dia tidak melihat kejadian itu kerana premisnya masih belum dibuka ketika ia berlaku.

“Namun apabila sampai dan saya periksa rakaman CCTV, barulah saya dapat saksikan kejadian itu.

"Saya difahamkan, lelaki itu adalah gelandangan, selalu berkeliaran di kawasan ini. Saya percaya anjing itu tidak bertuan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniat memperbesarkan perkara itu dan hanya berkongsi rakaman CCTV dengan kawan tetapi tidak sangka menjadi viral.

Selain itu, tinjauan di lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat peduduk setempat, lelaki yang melakukan perbuatan itu dipercayai gelandangan berusia 40-an.

Lelaki itu, juga dikatakan sering ditemui mundar-mandir di kawasan perumahan Kampung Bharath, Teluk Intan, dan restoran nasi kandar terkenal di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 4:49 PM