MOHAMAD Amirul Ridzuan (tengah) bersama (dari kiri) Nur Izlan Firdaus, Nor Fakhrina, Mohd Nur Hidayat dan Md Ikhwan (kanan) di PUSASDA, semalam.
MOHAMAD Amirul Ridzuan (tengah) bersama (dari kiri) Nur Izlan Firdaus, Nor Fakhrina, Mohd Nur Hidayat dan Md Ikhwan (kanan) di PUSASDA, semalam.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tentera Darat (TD) berharap kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap pasukan keselamatan itu dalam Bajet 2018, Jumaat ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, TD sentiasa bersiapsiaga menghadapi cabaran selain menerima apa juga pengumuman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita (TD) yakin kerajaan sentiasa mengambil kira segala keperluan termasuk apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) mengumumkan mengenai penambahan aset TD terutama Grup Gerak Khas (GGK),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 1,359 Perajurit Muda (PM) termasuk 45 wanita tamat latihan Siri 183/2017 dan 43/2017.

Sementara itu, Mohamad Amirul Ridzuan Shamuri, 22, dari Johor dipilih sebagai PM terbaik keseluruhan manakala Nor Fakhrina Abd Razak, 19, dari Pahang pula menerima anugerah Akademik Terbaik.

Kategori Jasmani Terbaik diraih Md Ikhwan Aslinee, 19, dari Sabah; Mohd Nur Hidayat Razlan, 23, dari Melaka (kawad terbaik) dan Nur Izlan Firdaus Rozaki, 20, dari Kelantan, penembak terbaik.

Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Medan Barat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:48 AM