MOHAMAD Amirul Arif bersama bapa, Mahathir Survi dan ibu, Roshani Salleh melihat diploma yang diterima.
AZRIL bersama bapa, Che Ibrahim Daud dan ibu, Fatimah Daud berkongsi kegembiraan.
HM Digital

Shah Alam: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-87 yang berakhir semalam menjadi kenangan manis buat dua atlet bola sepak kategori cacat penglihatan Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017) apabila berjaya menggenggam diploma selepas berdepan pelbagai cabaran sejak memulakan pengajian.

Mohamad Amirul Arif Mahathir, 24, dan Azril Che Ibrahim, 24, yang juga pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura dan pingat gangsa Para KL2017 masing-masing berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Pengajian Perniagaan serta Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat di Kampus UiTM, Alor Gajah, Melaka.

Ketika ditemui selepas berakhir istiadat berkenaan, Mohamad Amirul yang juga anak jati Kota Tinggi, Johor melahirkan rasa syukur kerana segala cabaran untuk dirinya menamatkan pengajian dapat dilalui dengan baik.

Menurutnya, pengalaman menaiki bas bersama Azril dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk menjalani latihan bola sepak antara kenangan yang akan diingati sampai bila-bila.

“Saya perlu bijak menyusun jadual kerana hari biasa perlu ke kuliah dan petang Jumaat saya sudah menaiki bas ke ibu negara untuk menjalani latihan pula.

“Ada ketika masa bersama keluarga saya korbankan kerana perlu membahagikan masa namun saya bersyukur kerana dapat juga menamatkan pengajian peringkat diploma ini,” katanya ketika ditemui UiTM, semalam.

Bagi Azril pula, saat mula menjejakkan kaki ke menara gading pada Jun 2014 menjadi antara detik sukar ketika bergelar mahasiswa.

“Semester pertama paling mencabar, saya tidak ada kawan, tiada siapa pun kenal saya tetapi saya bersyukur kerana keadaan bertambah baik pada semester berikutnya kerana semua orang membantu saya.

“Cabaran saya sama seperti Mohamad Amirul, kami perlu bijak daripada segi menyusun jadual kerana kami menjalani latihan di Kuala Lumpur dan kampus di Melaka.

“Ada perkara yang perlu dikorbankan demi cita-cita namun saya bersyukur kerana keluarga memahami serta sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Mohamad Amirul dan Azril kini melanjutkan pengajian dalam tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di Universiti Malaya dan mereka sedang fokus dengan latihan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia pada Disember ini di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 7:26 AM