Mohd Sabran Md Sani


POLIS menahan empat individu serta merampas sebanyak 15,046 biji pil ekstasi dan 5.08 gram syabu bernilai RM451,930, dalam serbuan di hotel bajet, di Setia Tropika Kempas, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek berusia 26 hingga 39 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) pada 1.50 pagi di bilik hotel bersama semua dadah dan wang tunai RM1,000.

"Hasil serbuan dan rondaan sepasukan JSJN terhadap hotel bajet di Taman Setia Tropika di Kempas, empat individu termasuk dua lelaki tempatan, seorang wanita dan lelaki Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit pengedaran dadah.

"Pemeriksaan lanjut dalam bilik berkenaan menemui 15,046 biji pil disyaki ekstasi seberat 4.5 kilogram dan 5.08 gram disyaki syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) hari ini.

Katanya, pihaknya percaya hotel berkenaan dijadikan sebagai lokasi transit sebelum dadah berkenaan diedarkan kepada peruncit kecil-kecilan di sekitar bandar raya ini.

"Dipercayai semua dadah berkenaan dalam proses pembungkusan oleh kumpulan berkenaan dan ditemui dalam keadaan terbuka di atas meja bilik hotel berkenaan.

"Polis percaya terdapat peruncit kecil-kecilan yang memainkan peranan menjual dadah berkenaan dan masih menjalankan siasatan mengenainya," katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak setiap pil berkenaan dijual pada harga pasaran RM30 sebiji.

Selain semua suspek yang beralamat di Johor Bahru, terdapat individu lain terbabit dalam kegiatan itu.

Beliau berkata siasatan mendapati dua lelaki tempatan dan wanita berusia 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta positif methamphetamine.

Berikutan itu semua disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan selama seminggu hingga 26 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 3:58 PM
ASISTEN Komisioner Mohd Taib Ahmad (tengah) menunjukan sebanyak 15,046 biji pil ekstasi dan 5.08 gram syabu bernilai RM451,930, suspek berusia 26 hingga 39 tahun ditahan bersama semua dadah dan wang tunai RM1,000 di sebuah hotel bajet, Setia Tropika Kempas. FOTO Mohd Azren Jamaludin