Aida Fazira Mohd Alias @Ayit bersama rakan-rakannya selepas Istiadat Konvokesyen UITM di Kampus Seri Iskandar, Perak, hari ini. - BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


KECACATAN kedua-dua belah kaki dan kehilangan ibu tersayang ketika semester terakhir tidak mematahkan semangat Aida Fazira Mohd Alias @Ayit, 23, sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) menamatkan pengajian dan membawa pulang segulung ijazah.

Anak yatim piatu dari Kampung Selabak, Teluk Intan, itu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.3.

Aida Fazira antara 2,943 graduan menerima ijazah disampaikan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad hari ini, sempena Istiadat Konvokesyen Ke-87 UITM Kampus Seri Iskandar, hari ini.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, ibunya, Sabariah Hashim, 55, banyak berkorban membantu menguruskan hidupnya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum Aidilfitri tahun lalu.

“Sangat mencabar ketika mula-mula hendak berdikari kerana sebelum ini semua keperluan diuruskan emak kerana ayah meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun.

“Ada waktunya berasa patah semangat, namun apabila teringat kata-kata emak ‘Kak Cik mampu buat’, ia menjadi penyuntik semangat untuk tidak putus asa.

“Hari ini, saya penat lelah saya berbayar dan ijazah ini hadiah untuk arwah emak dan ayah saya,” katanya selepas majlis konvokesyen, hari ini.

Menurutnya, tiada kaki kanan manakala kaki kiri kecil sejak lahir tidak melemahkan tekadnya untuk membuktikan mampu berjaya dalam pelajaran meskipun terpaksa berkerusi roda.

“Rakan sepengajian banyak membantu, termasuk mendukung saya naik dan turun tangga asrama hingga ke dewan kuliah sejak mula mengikuti pengajian peringkat diploma sehinggalah ijazah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:30 PM