KUCING hutan yang ditangkap anggota APM selepas memasuki reban ayam. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa setengah jam bagi mengeluarkan seekor kucing hutan yang terperangkap dalam reban ayam milik penduduk di Kampung Padang Tembak, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, kucing hutan jantan terbabit terperangkap di dalam reban itu selepas memakan dua ibu ayam sebelum disedari pemiliknya.

Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.23 tengah hari dari pengadu berusia 40-an mengenai kucing hutan di dalam reban ayam.

Katanya, selepas menerima panggilan itu empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.

"Lelaki itu ternampak haiwan terbabit ketika dia datang ke reban itu untuk memeriksa ayamnya dan pada mulanya terkejut apabila melihat corak pada badan haiwan itu seperti harimau bintang.

"Dia kemudian memanggil anak lelakinya berusia 17 tahun yang kemudian menyedari haiwan itu adalah kucing hutan," katanya.

Mohd Fadhil berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk menangkap kucing hutan itu kerana perlu berhati-hati disebabkan ia haiwan liar dan agresif.

"Haiwan terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak kami ingin menasihati orang ramai sekiranya rumah mereka dimasuki binatang liar atau berbisa diminta terus menghubungi APM atau bomba yanglebih berpengalaman dalam menangani situasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 9:58 PM