Kawasan hutan gambut Sungai Karang di Sungai Panjang, Sabak Bernam, yang terbakar sejak tengah hari semalam. - Foto Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


LAPAN hektar kawasan hutan gambut Sungai Karang di Sungai Panjang, Sabak Bernam terbakar sejak tengah hari semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira 1 tengah hari dan cuaca panas serta angin kuat menyebabkan ia cepat merebak.

Komander Operasi BBP Sungai Besar, Pegawai Kanan I, Syed Lotfi Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.20 tengah hari dan sembilan anggota dari BBP Sungai Besar bergegas ke lokasi.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan sehingga jam 7 malam tadi dan akan disambung semula hari ini.

"Kita turut menerima bantuan enam anggota dari BBP Sabak Bernam yang tiba jam empat petang tadi.

"Dua jentera kedua-dua balai bomba ini turut digunakan dalam operasi ini," katanya.

Beliau berkata, pemadaman dilakukan bermula dari bahagian pintu masuk hutan dengan menggunakan sumber air dari parit berhampiran.

Menurutnya,Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor turut serta memantau ruang udara dan darat di sekitar kawasan kebakaran dengan menggunakan 'drone'.

"Pusat operasi dibuka di kawasan hutan ini dan kita akan memantau keadaan malam ini sebelum operasi disambung pagi esok," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 1:16 AM