AINI Husna bersama ibu bapa pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Geomatika (KUG) ke-13, di Kuala Lumpur, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sejak kecil, saya menyimpan cita-cita menjadi pegawai farmasi kerana terpengaruh melihat kerja ibu, ayah dan mak cik dalam bidang kesihatan,” kata penerima Anugerah Pelajar Terbaik Diploma Farmasi pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Geomatika (KUG) ke-13, Aini Husna Massa’at, 22.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik, sejak kecil dia terbiasa melihat ubat-ubatan kerana pernah membantu mak ciknya bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik desa.

“Ayah, Massa’at Samian, 54, pula bekerja sebagai pembantu awam kesihatan manakala ibu Latifah Salam, 53, juga jururawat membuatkan saya dipengaruhi dengan persekitaran berkaitan kesihatan dan ubat-ubatan.

“Sebab itu saya berhasrat meneruskan tradisi keluarga dalam bidang ini menjadi pegawai farmasi selepas ini,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95.

Majlis konvokesyen dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu menyaksikan 1,037 graduan menerima anugerah, ijazah, diploma dan sijil yang disampaikan Canselor KUG Tan Sri Prof Dr Zulhasnan Rafique. Hadir sama, Presiden KUG Prof Sr Dr Mohaizi Mohamad.

Sementara itu, Dr Mohaizi berkata, pelbagai rancangan disusun KUG yang bermula pada 2004 itu untuk menuju revolusi industri 4.0 dan masyarakat 5.0 sekali gus mencapai sasaran bertaraf universiti penuh menjelang 2019.

“Revolusi industri 4.0 dan masyarakat 5.0 adalah usaha melahirkan individu pintar disudut kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan rohani (SQ) dalam persekitaran pekerjaan ke arah digital.

“Sebagai institusi yang memfokuskan teknologi maju, KUG berada di landasan tepat memenuhi kehendak industri dengan melahirkan graduan berpengetahuan luas, menguasai kemahiran teknikal dan sikap profesionalisme yang tinggi,” katanya.

Johari dalam pada itu berkata, perancangan menerapkan prinsip dan nilai industri 4.0 dalam program ditawarkan kolej universiti itu adalah langkah tepat selari dengan rancangan kerajaan.

“Kerajaan juga mendokong industri teknologi maju dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh termasuk sektor automasi, pembangunan robotik dan big data,” katanya.

KUG adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang memfokuskan modul pembelajaran berlandaskan latihan praktikal dalam industri dan mempunyai 2,500 pelajar tempatan dan antarabangsa di kampus utamanya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Kolej Universiti yang diuruskan sepenuhnya Geomatika Edugroup kini menawarkan 27 program diploma, sarjana muda (7), sarjana (3) sijil (7), asasi (2) dan satu program ijazah doktor falsafah (PhD).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:15 AM