MUHAMMAD Afiq (kiri) ketika menuntut jenazah arwah ayahnya.
HM Digital

Port Dickson: “Kedatangan kami ke daerah ini untuk berkelah. Tidak sangka ia menjadi detik terakhir kami bersama ayah,” kata Muhammad Afiq Farid, 16, yang kematian bapanya, Farid Ismail, 42, akibat serangan jantung di Pantai Batu 8, Telok Kemang, di sini, kelmarin.

Muhammad Afiq berkata, dia, ayah dan adik lelakinya berusia sembilan tahun datang dari Kuala Lumpur untuk mandi laut di pantai itu pada jam 6 petang.

“Kami mandi bersama sehingga jam 7.15 malam sebelum ayah mengadu sakit dada. Disebabkan itu, saya dan adik memasuki tandas berdekatan untuk membersihkan diri,” katanya.

Menurutnya, sebaik keluar dari tandas, dia mendapati ayahnya terbaring di tepi pantai dalam keadaan mulut berbuih.

“Saya menjerit meminta bantuan sebelum pegawai perubatan tiba di lokasi,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila pasukan perubatan mengesahkan ayahnya sudah meninggal dunia.

“Berdasarkan laporan bedah siasat, doktor memaklumkan punca kematian disebabkan serangan jantung. Setahu saya, ayah tidak pernah berdepan masalah kesihatan itu,” katanya di Hospital Port Dickson, di sini, semalam.

Muhamad Afiq berkata, dia dan adik begitu menyayangi ayah biarpun ibu bapa mereka sudah berpisah.

“Kami tinggal bersama ibu, tetapi apabila cuti sekolah ayah akan membawa kami bercuti. Saya sedih kerana ia detik terakhir kami,” katanya yang memaklumkan arwah adalah seorang jurutera di Kuala Lumpur.

Menurutnya, jenazah ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Razak, Cheras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad mengesahkan kejadian terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:24 AM