PEGAWAI dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Jaferi Jeral mengadakan aktiviti berkaitan pembelajaran kepada murid yang terbabit banjir di PPS di Dewan Masyarakat Tuan Said, Kota Belud.
PEGAWAI dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Jaferi Jeral mengadakan aktiviti berkaitan pembelajaran kepada murid yang terbabit banjir di PPS di Dewan Masyarakat Tuan Said, Kota Belud.
HM Digital

Tuaran: Mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, lega selepas dapat kembali ke rumah masing-masing apabila banjir yang melanda daerah itu semakin pulih semalam.

Sebelum ini, dua PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka dan Masjid Kampung Bunga Tenghilan, dekat sini, ditutup kelmarin dan semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati penduduk sibuk menjalankan kerja mencuci lumpur kesan daripada banjir berkenaan.

Penduduk Kampung Indai, Saadiah Matdin, 51, berkata, dia bersama lapan ahli keluarganya bergotong-royong mencuci rumah mereka sejak jam 11 pagi selepas dibenarkan pulang.

“Syukur, air mulai surut di kawasan kampung kami dan semua penduduk pulang untuk mencuci rumah. Namun, kami sedih kerana banyak perabot di dalam rumah rosak dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Menceritakan kejadian banjir yang melanda kampungnya, Saadiah berkata, air memasuki rumahnya jam 1 pagi, Khamis lalu.

“Ketika itu, semua ahli keluarga lain nyenyak tidur. Hanya saya yang berjaga ketika itu... ini kerana saya berasa tidak sedap hati memandangkan hujan lebat berterusan di daerah ini.

“Saya susah hendak tidur ketika itu walaupun ahli keluarga lain lena disebabkan hujan lebat. Apabila melihat keadaan air di luar rumah semakin meningkat, saya mengangkat perabot kecil dan dokumen penting ke tempat lebih tinggi.

“Tidak lama kemudian, air masuk ke dalam rumah secara mendadak mencecah ketinggian 0.3 meter lalu saya mengejutkan ahli keluarga lain untuk membantu mengangkat perabot ke tempat selamat,” katanya.

Katanya, kali terakhir banjir melanda kampung itu dua tahun lalu.

Sementara itu, di Kota Belud, banjir beransur pulih apabila 1,454 mangsa masih ditempatkan di tujuh PPS di daerah berkenaan, setakat jam 4 petang semalam.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, hanya tujuh PPS dibuka iaitu di Dewan Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, SMK Taun Gusi 1, Dewan Muhibbah Tombol dan SMK Taun Gusi 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:14 AM