KEBAKARAN dalam bilik asrama ATIQ malam kelmarin.
KEBAKARAN dalam bilik asrama ATIQ malam kelmarin.
Faliq Lajim


Shah Alam: “Kami cuba memadamkan api dengan menyembur air namun gagal. Kami hanya menunggu ketibaan anggota bomba,” kata Aswan Azim Dollkawaid, 28, saksi kebakaran sebuah bilik asrama di Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran (ATIQ), Bukit Lanchong di sini, kelmarin.

Pada kejadian jam 8 malam, 12 penghuni dan dua tenaga pengajar sempat menyelamatkan diri selepas api membakar bilik di tingkat dua bangunan berkenaan.

Ketika kejadian, mereka sedang mengaji di tingkat bawah sebelum seorang daripadanya terhidu asap tebal dan melihat kebakaran ketika mahu ke tandas.

Aswan Azim yang juga pemandu dan penjaga akademi itu berkata, dia antara individu terakhir berada di tingkat dua berkenaan selepas solat dan memastikan semua pelajar turun untuk mengaji.

“Saya kemudiannya pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari akademi ini. Ketika menunggu masuknya waktu solat Isyak, saya didatangi seorang pelajar memaklumkan tentang kebakaran itu,” katanya.

Difahamkan, ATIQ mempunyai 20 pelajar namun selebihnya pulang ke kampung halaman masing-masing.

Penghuni, Muhammad Farhan Muzabfar, 14, berkata, ketika mengaji selepas solat Maghrib, seorang daripada mereka keluar ke bilik air sebelum mendapati api sedang marak di tingkat dua.

“Rakan kami terus memaklumkan kejadian kepada kami . Kami terus keluar daripada bangunan tiga tingkat berkenaan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, beberapa pelajar cuba memadamkan api namun gagal berikutan api terlalu marak dan bersyukur kerana tiada sesiapa tercedera.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, 14 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, jam 8.28 malam.

“Kami dapat mengawal kebakaran bilik berkeluasan 83 meter persegi itu yang merangkumi 20 peratus bilik asrama pusat terbabit.

“Punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:38 AM