Skip this ad x
MOHAMED Khaled (kanan duduk) diberi penerangan oleh Panel Operator Pusat Kawalan Loji Kojana Pengerang, Zaki Ramlee (duduk, kiri) selepas majlis perasmian. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


LOJI Kojana Pengerang (PCP) dan Terminal Regafikasi 2 (RGT2) antara dua komponen penting dilancarkan hari ini dalam usaha menyokong operasi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kedua-dua fasiliti itu adalah komponen utama bagi membekalkan kuasa dan wap serta memenuhi keperluan gas untuk loji penapisan dan petrokimia di dalam PIC.

Beliau berkata kedua-dua, fasiliti itu yang juga dua daripada enam kemudahan sokongan kompleks ini memulakan proses pentauliahan beberapa bulan lalu.

"Saya merasa amat bertuah kerana diberi penghormatan hari ini untuk merasmikan kedua-dua kemudahan terbaru itu yang juga mercu tanda penting PIC, malah RTG2 menerima kapal LNG pertama dan akan mencapai status pentauliahan tidak lama lagi.

"Kemudahan berkapasiti 3.5 juta tan setahun ini bukan saja membekalkan gas kepada kemudahan-kemudahan lain di PIC, malah juga kepada saluran gas Penggunaan Gas Semenanjung," katanya pada Majlis Perasmian Loji Kojana dan Terminal Regafikasi 2 Kompleks Bersepadu Pengerang di Kota Tinggi, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata, fasiliti RTG2 akan menyokong inisiatif liberalisilasi pasaran gas di Malaysia dan menjamin kesinambungan bekalan gas di masa hadapan.

"Pembangunan pesat ekonomi negara dijangka mempertingkatkan lagi permintaan gas asli dan dengan terbinanya RTG2 ini, infrastruktur untuk penyaluran gas ke negara kita semakin kukuh," katanya.

Beliau berkata PIC adalah satu lagi wadah yang merealisasikan impian kerajaan untuk mewujudkan pusat pembangunan industri hiliran minyak dan gas di selatan tanah air.

"Dengan sokongan padu Kerajaan Negeri Johor, PETRONAS dan pelbagai pihak lain, kita semakin hampir mencapai impian yang mampu melonjakkan pembangunan sosio-ekonomi dan sudah tentunya membawa manfaat kepada segenap lapisan rakyat.

"Kejayaan projek ini menjadi antara tonggak penting keberkesanan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara kita.

"Sejak kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru negara pada 2010, kita menyusun beberapa strategi untuk menstruktur semula ekonomi negara, melonjakkan lagi pertumbuhan, mempelopori sektor-sektor baru serta menarik pelaburan asing," katanya.

Sementara itu PCP mampu menghasilkan 1,220 megawatt tenaga elektrik untuk menerima keperluan PIC, malah sebahagian daripada tenaga elektrik dihasilkan akan disalurkan menerusi talian transmisi ke grid nasional sepanjang 51 kilometer dari PCP ke substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Tanjung Langsat.

Loji janakuasan gas ini mempunyai empat unit kojana di mana unit pertamanya beroperasi secara komersial pada 21 Oktober lalu.

Selain daripada penjanaan tenaga elektrik, PCP juga akan membekalkan wap sehingga 1,480 tan sejam kepada loji-loji di dalam PIC.

RGT2 pula adalah kemudahan bersepadu yang akan menerima, menyimpan dan menggaskan semula gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti mencecah 3.5 juta tan setahun (MTPA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:39 PM