MOHAMMED Nazari
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini diharap memberi khabar gembira khusus kepada lebih 400,000 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara.

Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Mohammed Nazari Othman berkata, setiap tahun seolah-olah golongan OKU dipinggirkan manakala sektor lain menerima khabar gembira.

“Kemudahan asas tidak mesra OKU masih berada pada takuk lama dan kita harapkan ia setanding Singapura dan Thailand dalam memperkasakan golongan ini.

“Sebagai mewakili OKU di Malaysia, saya berharap elaun pekerja cacat dinaikkan iaitu RM350 ketika ini kepada RM500 sebulan serta ditukarkan kepada elaun dengan kecacatan,” katanya.

Menurutnya, elaun kecacatan sepatutnya diterima semua OKU dan bukan mereka berpendapatan di bawah RM1,200 saja.

“Selain itu, kami sangat berharap kemudahan asas OKU dipertingkatkan sejajar Pelan Tindakan OKU iaitu keutamaan diberikan kepada kemudahan aksesibiliti. Kami fikir Malaysia masih belum mencapai tahap sepatutnya dalam memperkasakan OKU,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 8:49 AM