Sani Araby menerima Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawan UPSI daripada Tuanku Zara Salim. FOTO ihsan UPSI
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


“PENGANUGERAHAN ini satu pengiktirafan dan memberikan semangat kepada saya dan rakan untuk terus menyumbang keringat membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia,” kata Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Sani Araby Al-Kahery.

Semalam, beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-19 yang disempurnakan Tuanku Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan UPSI peka dengan masalah ummah yang berlaku di seluruh dunia seperti isu Syria, Rohingya dan Gaza.

Menurutnya, penganugerahan itu begitu bermakna kerana dia baru saja tiba di tanah air selepas mengetuai misi bantuan kemanusiaan musim sejuk di Syria selama seminggu.

"Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada semua sukarelawan untuk terus berbakti kepada ummah selepas ini," katanya.

Sani Araby yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPSI berkata, sepanjang lebih 11 tahun menjadi sukarelawan termasuk yang terbaru sebagai Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan RescueSyria MAPIM, pelbagai pengalaman diraih dan ia sedikit sebanyak mengajar dirinya untuk menjadi insan bersyukur.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai Ahli Lembaga Pengarah termuda di universiti awam tanah air termasuk dalam sejarah 95 tahun penubuhan UPSI menerusi lantikan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kalau sebelum ini, aktiviti sukarelawan hanya dilihat sebagai kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi dengan anugerah daripada UPSI selaku universiti terulung pendidikan menunjukkan sudah sampai masanya kesukarelawanan ini menjadi inti pati utama dalam bidang pendidikan di negara ini.

"Saya bersedia untuk berkongsi segala pengalaman demi melahirkan mahasiswa yang peka kepada hal kesukarelawan sama ada dalam dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Sani Arby juga Naib Presiden kepada beberapa NGO antarabangsa sering dijemput ke persidangan untuk membahas serta berkongsi strategi kejayaan projek yang diusahakan.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran berkata, penganugerahan itu adalah penghargaan kepada pencapaian Sani yang mengharumkan nama UPSI di peringkat dunia.

Katanya, ia menjadi contoh terbaik kepada generasi muda khususnya warga UPSI untuk mencipta lebih banyak kejayaan, membangunkan ummah di serata dunia dengan kepakaran sendiri.

"UPSI mahu gerak kerja seperti yang dilakukan Sani Araby menjadi contoh. Kita perlukan lebih ramai aktivis seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 2:23 PM