MARYAM Hanan Yahya, 25, (tengah) menunjukkan Sijil Anugerah Graduan Terbaik Peringkat Sarjana Muda kepada Ibu bapanya, Anita Talib, 55, dan Yahya Abu Hasan, 63, semasa Istidat Konvokesyen UITM ke 87 cawangan Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhammad Shalaby Shahbuddin


“HARAPAN saya untuk membeli rumah buat ibu bapa," kata Maryam Hanan Yahya, 25, yang merangkul Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Peringkat Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-87 di Permatang Pauh, hari ini.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu berkata, ia sebagai penghargaan buat bapa, Yahya Abu Hasan, 63, dan ibunya, Anita Talib, 55, yang menjadi pendorong dan kekuatan bagi kejayaan dikecapinya selama ini.

Maryam berkata, selain itu, faktor kejayaannya disebabkan atas minat dalam bidang dipelajarinya iaitu bidang elektrik yang timbul sejak menuntut di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra pada 2008.

Dia yang tinggal di Bayan Lepas, Georgetown berkata, apabila hanya mendapat keputusan sederhana dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009 membuatkan dirinya berusaha lebih gigih sejak menuntut di universiti itu sejak 2010.

"Alhamdulillah, saya bangga atas kejayaan ini dan moto 'jangan putus asa' antara kata-kata menaikkan semangat juang untuk berjaya.

"Walaupun aktif dalam sebuah kelab di universiti ini, saya berjaya mengurus dan membahagikan masa belajar agar kedua-duanya seimbang selain dapat memenuhi hobi membaca dan bermain permainan dalam talian untuk 'riadah' diri sendiri," katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.84.

Penganugerahan hari ini disempurnakan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar.

Dalam pada itu, dua anugerah lain iaitu Anugerah Graduan Terbaik Khas Peringkat Sarjana Muda UiTM Cawangan Pulau Pinang dirangkul Aghnia Atiqa Hishammuddin dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Operasi (CGPA 3.84) dan Anugerah Graduan Terbaik Khas Peringkat Diploma UiTM Cawangan Pulau Pinang oleh Zulina Idora Aladdinini dalam Diploma Seni Kulinari (CGPA 3.93).

Istiadat Konvokesyen UiTM ke 87 menyaksikan dua sidang berlangsung hari ini bermula 8.45 pagi hingga 11.30 pagi, manakala sidang kedua dijalankan pada 2.30 hingga 4.30 petang.

Seramai 942 graduan di kampus cawangan terbabit iaitu Ijazah Sarjana Muda sebanyak 206 graduan dan Diploma 736 graduan selain penerima Anugerah Naib Canselor membabitkan 59 graduan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 8:03 PM