Rumah yang musnah terbakar di Tebuk Montel Selatan, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


RUMAH dua tingkat musnah dalam kebakaran di Tebuk Montel Selatan, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, kediaman separuh kayu dan batu milik Mat Idris Hamidun, 76, dan isteri, Kalsum Bashir, 71, musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam Mohd Saufi Zakaria berkata, sepasukan 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada penduduk.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati api marak di keseluruhan rumah serta asap hitam menyelubungi kawasan sekitar.

"Anggota mengambil masa hampir setengah jam memadamkan kebakaran itu," katanya.

Menurutnya, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

Mohd Saufi berkata, operasi pemadaman ditamatkan jam 9.10 malam tadi.

Difahamkan ketika kejadian tiada penghuni di rumah itu begitu juga suami isteri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:46 AM