Keadaan restoran yang rosak akibat letupan. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


SEBUAH restoran di Jalan PJU5/10, Kota Damansara, Petaling Jaya, mengalami kerosakan selepas berlaku letupan akibat kebocoran gas, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada 7.09 pagi.

Katanya, seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik serta BBP Damansara dikerahkan ke lokasi bagi bantuan.

"Apabila anggota tiba di lokasi didapati pintu jenis 'Roller Shutter' di premis terbabit tercabut akibat letupan daripada kebocoran gas.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana difahamkan tiada individu di dalam premis terbabit sewaktu kejadian.

"Susulan itu, anggota membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi kebocoran gas dan selepas didapati keadaan selamat kedai terbabit diserahkan kepada pemilik," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 2:21 PM