Ahli Gabungan Angkatan Setia Anak Kedah (GASAK) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Masjid Zahir mengesa Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin disiasat kerana menghina Instituti Raja-Raja Melayu dan mengancam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. FOTO AMRAN HAMID
Ahli Gabungan Angkatan Setia Anak Kedah (GASAK) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Masjid Zahir mengesa Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin disiasat kerana menghina Instituti Raja-Raja Melayu dan mengancam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. FOTO AMRAN HAMID
Aizat Sharif


GABUNGAN Angkatan Setia Anak Kedah (GASAK) menggesa satu siasatan dilakukan terhadap Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin kerana kebiadabannya menghina Instituti Raja Raja Melayu serta mengancam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Penasihat GASAK Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, pihaknya melihat tindakan Wan Ji adalah satu agenda terancang untuk mewujudkan propaganda bagi mewujudkan kebencian kepada Raja Melayu sekali gus menjadikan negara ini sebagai Republik pada tahun 2030.

"Wan Ji juga secara sedar menjelaskan perancangannya itu hingga ia menjadi tular di media sosial dan menjadi sebutan ramai.

"Aktivis pembangkang itu bukan lagi bersifat mainan politik semata mata, tetapi ia sudah merentasi sempadan keselamatan negara memandangkan pengaruhnya selaku ahli politik muda Melayu yang dimanipulasi oleh DAP.

"Tindakannya boleh mewujudkan benih benih kebencian kepada Raja seterusnya menggerakkan idealisme ini secara subversif dan pastinya akan menyebabkan kerosakan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di pekarangan Masjid Zahir, Alor Setar hari ini.

Dr Abdul Kadir berkata, pihaknya mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas dan segera.

"Kebimbangan kami adalah perkara ini akan menular secara senyap dan hanya menunggu masa untuk menjadi lebih serius hingga mencetuskan situasi huru hara di negara ini," katanya.

“Kita berharap supaya satu tindakan dapat diambil terhadap Wan Ji agar dia tidak begitu biadap,” katanya.

Sementara itu, dianggarkan hampir 100 orang berkumpul di hadapan Masjid Zahir Alor Setar selepas solat Jumaat tadi bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap tindakan Wan Ji itu.

Protes yang dilakukan selama 10 minit itu berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Dua minggu lalu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan Wan Ji ditahan sepasukan polis dari Bukit Aman dipercayai berkaitan kes menghina Sultan di luar pekarangan Masjid Sembilang, Seberang Jaya selepas solat Jumaat.

Ia susulan, Jawatankuasa Surau Mohd Al-Fateh di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam membuat laporan polis terhadap Wan Ji yang didakwa menghina institusi diraja dan kesultanan negara menerusi ceramahnya.

Selepas itu, satu lagi laporan polis terhadapnya dibuat di Kuala Lumpur sebelum tindakan diambil hari ini.

Wan Ji pernah didakwa di mahkamah pada 2014 atas tuduhan menerbitkan kenyataan berbaur hasutan bagi menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Facebook (FB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:11 PM