Mohamed Hasnan (tengah) menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada Asnah untuk pembinaan semula rumahnya yang musnah dalam kebakaran Julai lalu sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Wan Azlan Wan Ab Rahman (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamed Hasnan (tengah) menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada Asnah untuk pembinaan semula rumahnya yang musnah dalam kebakaran Julai lalu sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Wan Azlan Wan Ab Rahman (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


SEBANYAK 5,000 daripada 20,000 unit Rumah Mesra Rakyat Felda yang dicadangkan kerajaan untuk penduduk tanah rancangan itu akan mula dibina pada awal 2018.

Pengerusi SPNB Mesra Sdn Bhd Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, pihaknya dipertanggungjawab untuk pembangunan projek berkenaan yang mengambil masa empat tahun.

Katanya, rumah mesra itu salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,600 layak memohon.

"Ini adalah salah satu projek yang dipertanggungjawabkan kepada SPNB untuk disiapkan dalam tempoh empat tahun.

"Kita juga membangunkan program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dan setakat ini menerima 89,405 permohonan dari seluruh negara. Sejumlah 47, 294 permohonan sudah diluluskan.

"Bagi projek itu, sebanyak 39,395 unit rumah siap dibina, manakala 12,535 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu dan akan diproses kelak," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Asnah Mustafa, 64, yang menerima RMR1M di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, hari ini.

Asnah menerima rumah itu selepas kediamannya terbakar pada Julai lalu.

Warga emas itu turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM5,000.

Di Kelantan, sebanyak 11,135 permohonan RMR1M diterima dan sejumlah 6, 777 permohonan sudah diluluskan.

"Kita jangkakan akan ada peningkatan jumlah permohonan dan yakin kerajaan akan terus memberi peruntukan untuk meneruskan program sebegini," katanya.

Sementara itu, Asnah bersyukur kerana proses membina rumahnya dilaksana dengan cepat selepas permohonannya diluluskan bulan lalu.

"Saya sangat gembira semuanya dipermudahkan Allah dan tidak sabar memasuki rumah ini. Buat masa ini, saya menumpang di sebuah rumah inap berdekatan," katanya.

Kisah Asnah yang menerima rumah RMR1M pernah dilaporkan Harian Metro pada 11 September lalu selepas rumah pusakanya berusia 39 tahun musnah dalam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 5:05 PM