LELAKI berusia 24 tahun ditahan polis selepas memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara melawan arus di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth, 5.30 petang tadi.
Shamsul Munir Safini


LELAKI berusia 24 tahun ditahan polis selepas memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara melawan arus di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth, 5.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 3.30 pagi tadi, suspek yang memandu MPV jenis Toyota Unser berwarna emas itu dirakam memandu secara lawan arus dari tol arah Bagan Ajam menghala ke kawasan Jeti Feri.

Katanya, satu laporan polis dibuat mengenai kejadian berdasarkan video tular berkenaan dan suspek ditangkap di tempat kerjanya di Seberang Jaya petang tadi.

Menurutnya, pihaknya juga sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek dibawa ke lokasi bagi tujuan siasatan.

Noorzainy berkata, hasil semakan ke atas pengenalan suspek mendapati dia tiada rekod jenayah lampau.

Berdasarkan rakaman berdurasi lebih dua minit yang dimuat naik ke media sosial itu, seorang penunggang motosikal sempat merakam aksi bahaya pemandu berkenaan sebelum mengambil nombor pendaftarannya.

Menerusi keterangan yang dimuat naik pada video berkenaan juga, pemandu kereta berusia 20-an itu memberi alasan terlupa menambah nilai kad touch and go miliknya sebelum bertindak berpatah balik dan memandu secara lawan arus.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Berita berkaitan

'Polis cari pemandu Toyota Unser'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 7:05 PM