GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
HM Digital
am@hmetro.com.my


AMANAH Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang dilaksanakan bermula 1 Januari 2018 dianggar memanfaatkan 2.8 juta bayi Malaysia.

Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit.

Ia akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kos keseluruhan ADAM50 yang akan dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 ini dianggar mencecah RM560 juta dan akan memanfaatkan 2.8 juta bayi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

ADAM50 membabitkan dua tabung iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Sebanyak 200 unit insentif dan semua dividen yang diperolehi bagi jumlah permulaan ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.

Malah, sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelaburan tambahan ke dalam akaun bayi berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan tambahan ke dalam akaun AS1M bagi bayi bukan Bumiputera sehingga had maksimum 50,000 unit.

Bagi bayi Bumiputera pula, pihak PNB bercadang untuk meningkatkan had pelaburan Akaun Remaja ASB daripada 50,000 unit kepada 200,000 unit, tertakluk kepada keperluan pematuhan.

Dana itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, dana unit amanah ASNB dibuka untuk individu berusia seawal enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:38 PM