Kakitangan kerajaan, Harizan Abu Seman,35, bersama isteri,Wan Noor Ashikin Wan Azizan,36, serta ahli keluarga menonton pembentangan Bajet 2018 yang dibentangkan secara langsung oleh Perdana Menteri di rumah mereka di Taman Tunku Sarina.
HM Digital

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyifatkan Bajet 2018 mengekalkan komitmen kerajaan untuk menguruskan kewangan secara mapan, khususnya menerusi Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2018.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kos keseluruhan ADAM50 yang akan dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 ini dianggar mencecah RM560 juta dan akan memanfaatkan 2.8 juta bayi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit, yang akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) anak syarikat milik penuh PNB.

ADAM50 membabitkan dua tabung iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Sebelum ini, dana-dana unit amanah ASNB dibuka untuk individu seawal usia enam bulan tetapi kini dengan ADAM50, setiap bayi Malaysia yang lahir dalam tahun 2018 hingga 2022 akan memiliki satu akaun dengan unit insentif permulaan daripada Kerajaan dan PNB.

Sebanyak 200 unit insentif dan semua dividen yang diperolehi bagi jumlah permulaan ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.

Malah, sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelaburan tambahan ke dalam akaun bayi berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan tambahan ke dalam akaun AS1M bagi bayi bukan Bumiputera sehingga had maksimum 50,000 unit.

Bagi bayi Bumiputera pula, pihak PNB bercadang untuk meningkatkan had pelaburan Akaun Remaja ASB daripada 50,000 unit kepada 200,000 unit, tertakluk kepada keperluan pematuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:00 PM