Skip this ad x
Mayat ditemui tersepit di celah batu besar di sungai. FOTO ihsan bomba
Shamsul Munir Safini


LELAKI yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya di Jalan Tun Sardon menghala ke Relau, Balik Pulau, malam tadi ditemui lemas oleh pihak penyelamat awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan 10.03 malam sebelum jentera dan tujuh anggota termasuk penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemanggil memaklumkan seorang mangsa terjatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya dan dibawa arus deras.

"Mangsa tidak dapat menyelamatkan diri dan hilang dibawa arus akibat hujan lebat.

"Pada 11.15 malam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui motosikal jenis SYM milik mangsa tersangkut pada penutup longkang.

"Pencarian diteruskan dengan mengikut aliran arus pada jarak 500 meter dan didapati longkang itu bersambung dengan sungai berbatu dan berarus deras," katanya.

Beliau berkata, sehingga 1 pagi hari ini, operasi SAR diteruskan dengan membuat pencarian di permukaan air di kawasan sungai.

Menurutnya, pada 2.28 pagi, mayat ditemui tersepit di celah batu besar di sungai.

Katanya, kerja mengeluarkan mangsa menjadi sukar kerana tersepit pada batu besar serta arus air yang deras.

“Pada 3.41 pagi, mayat berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Balik Pulau.

“Identiti mangsa tidak dapat dipastikan kerana tiada pengenalan diri ketika ditemui,” katanya.

Berita berkaitan

Tragedi jatuh longkang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:13 PM