Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


DAKWAAN yang viral di media sosial kononnya terdapat ikan yang mengandungi telur beracun adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi, berkata hasil ujian dan pemeriksaan Unit Biosekuriti Perikanan dan Institut Penyelidikan Kesihatan Ikan (NaFISH) di setiap negeri tiada penemuan ikan mengandungi telur beracun seperti didakwa.

“Unit Biosekuriti Perikanan dan NaFISH sudah mengambil sampel ikan tamban dan sardin di pasar dan jeti pendaratan ikan di seluruh negeri.

“Ujian mendapati tiada penemuan ikan mengandungi telur beracun seperti didakwa terdapat di perairan Sabah.

“Kita juga dah buat pemeriksaan fizikal terhadap spesies ikan terbabit, termasuk warna dan perubahan abdomen dan dibelah untuk penyelidikan.

“Tapi, sehingga ini, tiada penemuan ikan mengandungi telur beracun seperti yang menjadi viral di WhatsApp dan laman sosial," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perikanan Sabah sedang menyiasat kesahihan dakwaan ikan di perairan itu yang mengandungi telur beracun seperti yang viral di laman sosial.

Mengulas lanjut, Munir berkata, Unit Biosekuriti Perikanan di setiap negeri juga digerakkan untuk melakukan pemantauan berterusan dan mengenal pasti spesies ikan yang didaratkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 8:47 PM