LOKASI kejadian mangsa ditemui lemas. FOTO ihsan pembaca
LOKASI kejadian mangsa ditemui lemas. FOTO ihsan pembaca
Siti Nadzirah Che Mud


REMAJA perempuan ditemui lemas manakala rakannya terselamat ketika mandi di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, 2.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu Nor Anis Atirah Roslan, 14, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

Rakan mangsa, Nur Alia Manila Shamsul Darniza, 14, diselamatkan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, mangsa ke tempat perkelahan berkenaan bersama tujuh rakannya dan turut ditemani bapa Nur Alia Manila.

"Kedua mangsa mandi di kawasan itu bersama rakan yang lain.

"Nur Alia Manila diselamatkan orang awam di situ, manakala, Nor Anis Atirah ditemui pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di hospital," ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.51 petang sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa diselamatkan orang awam manakala seorang lagi masih hilang.

"Usaha pencarian dijalankan dan mangsa berjaya ditemui 10 minit kemudian pada kedalaman empat meter.

"Mangsa diserahkan kepada hospital dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 12:39 AM