Yusmizal Dolah Aling di Cox’s Bazar Bangladesh


Cox’s Bazar: Kawasan lapang seluas padang bola sepak di Saburan, Teknaf, dekat sini, menjadi tanah harapan kepada pelarian Rohingya yang baru sampai ke Bangladesh.

Ini kerana, sejak awal September lalu, ia dijadikan lokasi pengumpulan pelarian sebelum mereka dihantar sama ada ke Kem Kutupalong, Balukhali dan Tankhali di Cox’s Bazar.

Ketika wartawan Metro Ahad tiba di lokasi itu bersama misi Untukmu Rohingya anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), terdapat hampir 30 pelarian terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak baru tiba dan akan dihantar ke kem penempatan.

Bezanya sebelum ini, pelarian yang baru tiba memenuhi sepanjang jalan dari sempadan di Sungai Naf sehingga sejauh 30 kilometer sementara menunggu untuk ditempatkan di kem penempatan seperti saudara mereka yang lain.

Bagaimanapun, keadaan seperti itu tidak kelihatan lagi sejak lebih sebulan lalu selepas kerajaan Bangladesh menyediakan tanah berkenaan untuk pelarian mendapatkan perlindungan sementara.

Dengan dikawal tentera sepanjang masa, ia juga menjadi pusat penghantaran barangan sumbangan dan bantuan masyarakat antarabangsa sejak operasi ketenteraan di Rakhine 25 Ogos lalu.

Kawasan lapang yang boleh menempatkan 2,000 pelarian pada satu-satu masa itu juga mempunyai tempat berbumbung bagi membolehkan mereka berteduh dari hujan dan panas.

Sementara itu, pelarian memenuhi kawasan berkenaan sebaik tiga van membawa sukarelawan Muslim Care tiba memberikan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Mereka ‘menyerbu’ sukarelawan untuk mendapatkan bekalan makanan akibat kelaparan, sebelum dibawa dengan kenderaan khas keluar dari lokasi itu tidak lama kemudian.

Dalam pada itu Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya menyerahkan 250 pek makanan kepada pelarian di situ, manakala bakinya diserahkan di kem penempatan sepanjang misi kali ini.

“Alhamdulillah, kita dapat menyantuni pelarian yang baru saja tiba ke sini. Ada yang keletihan, anak kecil dan warga emas kelaparan,” katanya.

Justeru beliau mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia untuk menjayakan misi ini melalui akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 012-6935938.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 8:28 AM