ASID menunjukkan jari kakinya yang tercedera akibat terjatuh motosikal sebelum pertandingan bermula.
Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah: Walaupun tiba sebelum cabaran bermula Asid Doya, 79, terpaksa membatalkan niatnya mengambil bahagian dalam pertandingan Dam Aji berikutan dua jari kaki kirinya cedera akibat terjatuh motosikal.

Akibat kecederaan dialami, warga emas itu dikejarkan ke Hospital Alor Gajah (HAG) dan menerima 14 jahitan.

Namun kerana minat mendalam terhadap Dam Aji, Asid tetap hadir ke lokasi pertandingan selepas dirawat.

Asid adalah antara 26 peserta menyertai pertandingan dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berlangsung di Muzium Warisan dan Sejarah Naning, Simpang Ampat, di sini, semalam.

“Apa nak buat, sudah bukan rezeki. Dapat tengok aksi peserta lain pun cukup untuk kali ini.

“Saya reda dengan insiden yang menimpa diri, ia berlaku tiba-tiba ketika meletak motosikal.

“Ketika sampai semula di sini dari hospital peserta sudah memasuki pusingan kalah mati.

“Jadi saya hanya memerhatikan saja mereka bertanding sambil menahan bisa akibat kecederaan jari kaki,” katanya.

Pertandingan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Latipah Omar. Hadir sama Pengurus Besar PERZIM Datuk Khamis Abas.

Format digunakan pada pertandingan itu adalah pusingan saringan dan kalah mati. Ia berlangsung penuh kemeriahan dengan sorakan pengunjung yang memerhatikan strategi digunakan peserta bertanding.

Sementara itu, juara Abdul Rashid Mohd Taha, 50, berkata, pertandingan itu menguji kemahiran pemain mengatur strategi terbaik sama ada menyerang atau bertahan saja.

Dia yang memenangi pertandingan dengan perbezaan sebiji buah dam berbanding lawannya berkata, penyertaannya berbaloi kerana dapat bertanding dengan pemain Dam Aji terbaik di negeri ini.

“Saya cuma memastikan buah lawan tidak membolosi kawasan pertahanan sepanjang 20 minit perlawanan. Walaupun masing-masing berjaya memperolehi satu aji, saya cuba memastikan lawan tidak memperoleh buah lain.

“Walaupun Dam Aji nampak mudah pada pandangan kasar, pemain perlu berlatih bagi memperolehi strategi terbaik memandangkan kami memiliki cara tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 8:35 AM