Hayati Ibrahim


PENUTUPAN lima cawangan pasar raya besar Giant mulai 5 November ini bukan menggambarkan keadaan ekonomi negara yang teruk, sebaliknya GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd sedang dalam perancangan mengecilkan saiz cawangannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan CGH yang juga pemilik Giant sudah memaklumkan mengenai penutupan cawangan itu kepada pihak kementerian.

"Sebenarnya, mereka cuba berunding dengan pemilik bangunan berkaitan kadar sewa, mereka memaklumkan untuk mengecilkan saiz pasar raya besar memandangkan trend pengguna kini yang lebih gemar membeli secara dalam talian.

"Jadi, jika pengendali pasar raya dan pemilik bangunan tidak mencapai persetujuan mengenai kadar sewa, pemilik syarikat akan mencari kaedah lain dengan menutup di kawasan itu dan berpindah ke lokasi lain yang lebih kompetitif bagi memastikan perniagaan kekal," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di KPDNKK, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Jamil Salleh.

Sebelum ini, media melaporkan lima pasar raya Giant akan ditutup mulai 5 November ini berikutan keputusan syarikat untuk tidak menyambung perjanjian pajakan premis yang sudah tamat.

Cawangan yang akan ditutup ialah di Sri Manjung, Perak; Sungai Petani, Kedah; Shah Alam dan Selayang Lama di Selangor serta Sibu, Sarawak.

Hamzah berkata, ketika ini, Giant mempunyai 51 cawangan pasar besar dan 71 'super store' di seluruh negara.

"Jadi kalau tutup satu, dua atau tiga masih ada banyak lagi (cawangan). Kalau persaingan dan 'volume' di kawasan itu kurang, saya rasa adalah adil untuk menukar dari pasar raya besar kepada pasar raya saja.

"Saya rasa kita (kerajaan) juga perlu mengikut trend semasa dan membenarkan mereka mengurangkan kos dengan mengecilkan saiz cawangan.

"Tiada kaitan dengan negara nak bankrap atau sebagainya sebab jumlah keseluruhan pasar raya besar yang dimiliki syarikat asing di negara ini adalah 119 buah tidak termasuk pasar raya dan pasar raya besar tempatan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, GCH sedang masih dalam rundingan dan sedang berusaha ke arah itu.

Ditanya mengenai nasib usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang membekalkan produk di pasar raya besar Giant, beliau berkata, penutupan lima cawangan itu tidak akan menjejaskan golongan ini.

Katanya, pembekalan produk terbabit adalah untuk keseluruhan cawangan Giant dan bukannya satu cawangan saja.

"Sebagai contoh, dalam perjanjian PKS perlu membekalkan 1,000 botol (produk) sebulan kepada Giant, kalau lima (cawangan) tutup, masih lagi 1,000 botol akan dibekalkan.

"Tiada kena mengena jika tutup satu cawangan perjanjian pembekalan produk akan ditamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:54 PM