Ladamah (kanan) menunjukkan kenderaan suspek yang dirampas. FOTO Razik Zayad
Junaidi Ladjana dan Razik Zayad


POLIS mengklasifikasikan kes kematian seorang wanita yang ditemui berlumuran darah di tepi jalan di Kilometer 5 Jalan Papar Baru-Kota Kinabalu, Jumaat lalu, sebagai kejadian bunuh.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, ia selepas pihaknya melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa dan teman lelakinya yang memandu Toyota Hilux dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar.

Katanya, mereka dipercayai bertengkar dan lelaki itu dipercayai dalam keadaan mabuk.

"Ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran simpang ke rumah mangsa, wanita terbabit disyaki melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak.

"Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan cedera parah lalu dibawa ke Hospital Papar oleh orang awam untuk rawatan lanjut.

"Suspek dikatakan meninggalkan mangsa dan memecut laju kenderaan namun saksi kejadian sempat mengambil nombor pendaftaran sebelum memaklumkan kepada polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Papar, hari ini.

Ladamah berkata, suspek ditahan susulan tindakannya mendorong kepada perlakuan jenayah sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Menurutnya, susulan maklumat itu, suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta diberkas polis di Sipitang, pada 9.15 pagi Isnin lalu.

"Suspek dipercayai mengenali mangsa dua bulan lalu melalui WeChat sebelum menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dan berjumpa petang sebelum kejadian.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Pada 11.30 malam Jumaat lalu, mangsa berusia 20 tahun ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala di HQE 1 pada 11 pagi keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:09 PM