Noor Ilham menunjukkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sejarah pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-55 di Georgetown. FOTO Shahnaz Fadzlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli


PENAT lelah dengan usaha berganda berbanding penuntut lain membolehkan graduan cacat penglihatan, Noor Ilham Ismail, 27, menerima Ijazah Sarjana Muda Sejarah di Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Pencapaian anak peneroka dari Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor itu membuktikan kebolehan Orang Kurang Ipaya (OKU) untuk berjaya dalam bidang diceburi.

Noor Ilham berkata, matanya menjadi kabur selepas demam panas pada usia lapan tahun dan sejak itu dia hanya dapat mengesan cahaya terang saja.

Katanya, kejayaan hari ini adalah hasil dorongan ibu, Sarimah Kassim, 63, dan arwah bapa, Ismail Jaafar yang meninggal dunia pada Jun lalu akibat strok.

"Walaupun bapa tidak dapat menyambut kejayaan ini, saya sudah menunaikan hasratnya bagi menjadi OKU berjaya dan berdikari.

"Kini saya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam Sejarah Politik dan ibulah yang memberi galakan berikutan saya sudah biasa berdikari," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Noor Ilham ditemui bersama Sarimah dan bapa saudaranya Mohd Zamri Kassim, 45, dalam satu sidang media meraikan kejayaannya di USM, hari ini.

Dia berkata, sebagai penuntut universiti, dia tidak dapat lari daripada berdepan dengan cabaran, namun bertuah kerana mempunyai tiga sahabat yang sentiasa membantu.

Kebiasaannya selepas selesai menaip tugasan, sahabatnya itu akan menjadi 'mata' dengan membacakan, memeriksa dan membetulkan kesalahan ejaan dilakukan Noor Ilham.

"Sebenarnya, sudah enam universiti tempatan menolak tawaran saya untuk menyambung pengajian dan ia mungkin kerana faktor kemudahan di sana yang tidak sesuai bagi penuntut OKU.

"Saya anggap ia adalah sebahagian ujian hidup seperti ditempuh semua orang, asalkan kita tidak berputus asa mencuba," katanya.

Noor Ilham antara 1,402 graduan yang menerima ijazah dalam bidang masing-masing sempena upacara konvokesyen berkenaan yang disampaikan Pro Canselor Tan Sri Mustafa Mansur, hari ini.

Pada upacara bermula pada 28 Oktober lalu hingga 2 November itu, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (seorang), Prof Emeritus (seorang), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 7:04 PM