DR Ahmad Zahid (dua dari kanan) melancarkan buku Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016 - 2025 di Institut Perguruan Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
HM Digital

Kuala Lumpur: Sektor korporat perlu memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, usaha memperkasa Bahasa Melayu perlu dilaksanakan pelbagai pihak, bukan saja di sekolah, institusi pengajian tinggi dan sektor awam, malah sektor korporat juga.

“Kerajaan sentiasa beriltizam memperkasa Bahasa Melayu meskipun berdepan pelbagai cabaran,” katanya ketika merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, semalam.

“Saya bersetuju Bahasa Melayu perlu dimantapkan dan usaha memperkasa bahasa ini perlu dibuat menerusi Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang menggabungkan kepakaran semua pihak,” katanya sambil menambah, amat penting untuk Bahasa Melayu mempunyai satu kerangka standard yang dapat dijadikan kayu pengukur bagi menilai tahap penguasaan bahasa itu.

Kerangka Standard Bahasa Melayu adalah satu daripada inisiatif memartabatkan pendidikan bahasa kebangsaan itu yang diletakkan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMB) di bawah Kementerian Pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 5:52 AM