Keadaan lori dan bas yang remuk selepas kemalangan di KM 178 Lebuhraya Utara-Selatan dari Tangkak ke Jasin.
Nur Saliawati Salberi


Jasin: “Mujur saya ikut gerak hati tukar tempat duduk, kalau tak mungkin saya boleh cedera parah. Difahamkan, penumpang yang cedera ramai duduk di sebelah kiri,” kata penumpang bas ekspres Amir Arsyad, 22, yang terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan lain di Kilometer 178 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini, semalam.

Kemalangan menyebabkan tangan kiri penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor itu membengkak dipercayai akibat terhentak, namun dia bersyukur kerana tidak cedera serius.

Menceritakan kejadian itu, Amir berkata, terdahulu dia menaiki bas berkenaan bersama penumpang lain di Batu Pahat pada jam 8 pagi sebelum bertolak ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Sepatutnya saya duduk di kerusi penumpang sebelah kiri, tetapi sebelum bas bertolak tiba-tiba saya berasa mahu pindah ke kanan kerana melihat banyak tempat duduk kosong.

“Tidak lama kemudian saya terlena, namun terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan bas bergegar, ketika itu kedengaran suara penumpang lain yang panik menjerit menyebabkan saya cemas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Jasin, semalam.

Katanya, semua penumpang kemudian menyelamatkan diri dengan keluar menerusi cermin depan bas yang pecah akibat bergesel dan berlanggar dengan lori tangki serta bas persiaran.

Dia turut memuji keprihatinan orang ramai membantu mengeluarkan penumpang wanita yang mengalami kesukaran untuk keluar dengan sendiri berikutan tersepit di tempat duduknya.

“Saya sebenarnya mahu ke Hospital Shah Alam, Selangor kerana ada temu janji dengan doktor dan mendapatkan rawatan susulan akibat terbabit kemalangan Ogos lalu, tapi hari ini (semalam) lain pula jadinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:10 AM