IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia


PEMANDU lori dan kelindannya maut selepas lori dinaiki langgar treler di Kilometer 10, dekat Sungai Lebey, lebuh raya Gerik-Jeli, dekat Gerik, malam tadi.

Lori itu membawa muatan ayam dari arah Gerik ke Jeli dan kemalangan pada 9.35 malam.

Pemandu, Mohd Shah Rizlan Yaacob, 46, dan kelindan lorinya, Mohd Farid Malik, 27, maut di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.38 malam.

“Lori tiga tan muatan ayam didapati merempuh bahagian tengah treler yang melintas laluan.

“Anggota bertugas mendapati dua mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu dan kelindan lori berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut kemudian dibawa ke Hospital Gerik manakala pemandu treler tidak cedera.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nizam Zakaria ditamatkan pada 11.13 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 10:46 AM