Mohd Taufik (kanan) berbincang bersama pegawainya selepas operasi SAR dihentikan hari ini. Gambar kecil Lau See yang masih hilang. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) warga emas, Lau See, 69, yang hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, Gua Musang sejak 10 Oktober lalu, dihentikan sepenuhnya hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, tindakan itu diambil berikutan operasi sudah berlarutan terlalu lama dan masih gagal menemui sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya ada maklumat dan petunjuk baru, pihaknya akan menjalankan semula operasi SAR berkenaan.

“Sepanjang operasi dijalankan, pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit, namun gagal menemui sebarang petunjuk.

“Kita puas hati dengan kerjasama daripada pelbagai agensi berkenaan sepanjang operasi SAR ini berjalan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa dikatakan hilang di hutan berkenaan pada jam 5.30 petang, 9 Oktober lalu selepas meninjau kawasan berkenaan bagi membuat sempadan.

Mangsa dikatakan memasuki kawasan hutan itu pada jam 2.30 petang bersama dua penduduk Orang Asli, Pandu Amat, 45, dan anak lelakinya, Azerin, 20.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan gagal keluar dari hutan itu sebelum Pandu membuat laporan di Balai Polis Paloh.

Berita berkaitan

Di mana Lau See?

Belum jumpa Lau See

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:35 PM