Bas elektrik yang diuji di Kelantan sebelum bas jenis itu digunakan tahun depan. FOTO Syaherah Mustafa
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KELANTAN bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menyediakan bas elektrik 40 tempat duduk sebagai pengangkutan awam di bandar Kota Bharu, mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penggunaan bas elektrik dianggap sesuai dan ia seiring hasrat kerajaan negeri yang menghidupkan pengamalan hijau dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, buat masa ini, sebuah bas jenis itu yang bernilai RM1.2 juta diimport dari China untuk dijadikan kajian untuk menentukan laluan sesuai dan lokasi penempatan stesen pengecasan.

"Penggunaan bas elektrik mampu mengurangkan kos bahan bakar sekali gus menghapuskan asap karbon yang semakin banyak terutama dengan jumlah peningkatan kenderaan di jalan raya.

"Jadi kita harap, penggunaan kenderaan mesra alam ini dapat dilakukan secepat mungkin, berkemungkinan tahun depan," katanya ketika ditemui selepas Sesi Percubaan Menaiki Bas Elektrik di tapak Hari Peladang, Penternakan, dan Nelayan serta Ekspo Teknologi Hijau Kelantan di stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, hari ini.

Sepanjang ekspo itu yang berakhir Ahad, bas elektrik berkenaan akan ditempatkan di lokasi untuk penduduk merasai keseronokan menaiki bas elektrik.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, kelajuan maksimum bas itu adalah 80 kilometer sejam dan boleh dipandu sejauh 50 kilometer sekiranya dicas untuk tempoh 15 minit.

"Ia dibawa masuk menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd (KUM) dengan kerjasama Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd.

"Hari ini kita cuba rasai sendiri bas elektrik terbabit dan ternyata ia bertepatan dengan kehendak kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah berkata, pihaknya meletakkan sasaran baharu iaitu 150,000 pengunjung hadir ke Hari Peladang, Penternakan, dan Nelayan serta Ekspo Teknologi Hijau yang berakhir Ahad ini.

Katanya, sejak tiga hari berlangsung, pihaknya sudah mencatatkan lebih 50,000 pengunjung dan ia dijangka meningkat sekali ganda pada hujung minggu.

Sasaran awal yang ditetapkan adalah 100,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:47 PM