NORIZAM (kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang bekas pekerja kontrak dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan runcit dengan alasan dia kehabisan sumber makanan di rumah.

Majistret Norina Maludin, menjatuhkan hukuman itu ke atas Norizam Salam, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Norina turut memerintahkan hukuman penjara ke atas bapa dua anak itu bermula dari tarikh hukuman iaitu semalam.

Mengikut pertuduhan, Norizam didakwa mencuri barangan makanan runcit milik pasar raya Aeon Ayer Keroh bernilai RM720.15 di Aeon Jusco Ayer Keroh jam 9.30 malam, 7 Oktober lalu.

Justeru, Norizam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Norizam selepas mengambil kira kekerapan kes kecurian di pasar raya terbabit selain sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari, merayu hukuman ke atas anak guamnya diringankan atas alasan tertuduh melakukan kesalahan itu atas faktor tekanan hidup berikutan tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai kerani.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norina menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh menjelaskan denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 7:59 AM