Pek ekstrak jus yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIGA lelaki ditahan polis bersama lima paket estrak jus buah-buahan yang dicampur ekstasi dianggarkan bernilai RM1,250 di kawasan parkir kondominium di BDC, Kuching, Selasa lalu.

Suspek berusia 28 hingga 42 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak jam 11.30 malam hasil risikan.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, suspek dipercayai menjadi pengedar kecil-kecilan di bandar raya itu dan menjual bahan terlarang itu pada harga RM250 sepaket.

Menurutnya, sasaran suspek adalah pengunjung kelab malam dan kegiatan haram itu dipercayai sudah dijalankan sejak sebulan yang lalu.

"Ekstasi dicampur dalam jus buah-buahan seperti perisa betik, oren dan mangga serta dibungkus seperti bungkusan perisa minuman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pengguna boleh mencampur jus berkenaan bersama atau tanpa air bagi mendapatkan kesan khayal segera," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sahar berkata, bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh suspek daripada sindiket pengedaran di Semenanjung sebelum membawa masuk ke negeri ini.

Katanya, jika dilihat dari luaran sukar untuk pihak berkuasa untuk mengesan bungkusan estrak itu mengandungi dadah dan ia memerlukan ujian makmal bagi mengenal pasti kandungannya.

"Semua suspek yang seorang daripadanya adalah warga China kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 3:50 PM