JENAZAH ibu bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Allahyarham Sarah Abd Karim, 83, yang meninggal dunia akibat sakit jantung dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Stulang Baru, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


IBU kepada bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali, Sarah Abd Karim, 83, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, 3.20 petang hari ini akibat sakit jantung.

Mahfar berkata, arwah ibunya mengalami masalah jantung sejak bulan lalu dan mendapatkan rawatan sebanyak tiga kali di HSA.

"Kami sempat melawatnya tengah hari tadi, ketika itu arwah dalam keadaan biasa sambil berbual.

"Kami pulang selepas waktu melawat, namun keadaannya mula tenat ketika proses melakukan imbasan dan ibu disahkan meninggal dunia pada 3.20 petang tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Stulang Baru, Johor Bahru.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh kira-kira 10 pagi esok bersebelahan arwah bapanya, Ali Abdullah, yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat sakit tua.

Allahyarham meninggalkan 12 anak, 40 cucu dan 28 cicit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:52 PM