Masjid Diraja Sultan Suleiman berusia 85 tahun tersergam di hadapan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang. (Gambar kecil) Tengku Abdul Samad (kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci masjid daripada Ir Rozita kepada Haris.
BERNAMA

MASJID Diraja Sultan Suleiman hari ini diserahkan semula kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak ia ditutup sepenuhnya pada 10 Mac 2015 susulan kerja-kerja pemuliharaan bangunan yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Replika kunci masjid berusia 85 tahun itu diserahkan kepada Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim oleh Timbalan Pengarah JKR Selangor Ir Rozita Mat Senapi yang disaksikan Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah dalam satu majlis di Klang.

Tengku Abdul Samad Shah pula menyerahkan ‘tongkat khatib’ kepada pengurusan masjid berkenaan sebagai simbolik untuk mengimarahkan semula masjid yang dibina pada tahun 1932 itu.

Majlis tersebut diikuti dengan solat maghrib serta isyak berjemaah dan juga bacaan tahlil serta Surah Yasin sebagai permulaan pengoperasian kembali masjid tersebut.

Kerja-kerja pemuliharaan masjid yang terletak di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa di sini siap sepenuhnya pada 17 Oktober lalu dengan kos sebanyak RM12 juta.

Haris dalam ucapannya pada majlis itu berkata Masjid Diraja Sultan Suleiman adalah masjid istimewa kerana keunikan reka bentuk dan seni binanya yang mempunyai pengaruh seni bina Islam Moorish dan Inggeris.

“Masjid ini mempunyai nilai sejarah dan latar belakang yang kukuh dalam melebarkan peranan asasnya sebagai institusi agama Islam selama 85 tahun lepas yang umum ketahui masjid adalah manifestasi kewujudan sesebuah komuniti, lambang keunggulan Islam dan penganutnya, di samping sebagai warisan kepada tamadun masyarakat sekeliling.

“Adalah menjadi harapan untuk melihat Masjid Diraja Sultan Suleiman ini bukan saja menjadi rumah ibadat bahkan menjadi nadi dan perlambangan keagungan Islam kepada masyarakat di sekelilingnya,” katanya.

Sehubungan itu, Haris meminta anggota jawatankuasa masjid tersebut supaya sentiasa memastikan masjid tersebut berada dalam keadaan bersih dan selesa supaya ia mampu menarik minat umat Islam untuk terus mengimarahkannya.

Beliau turut mengingatkan anggota jawatankuasa masjid supaya sentiasa berwaspada dan mengawasi setiap isi kandungan ceramah dan kuliah yang disampaikan penceramah bebas bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 11:51 PM