ZAINAB (tengah) berbual dengan pelajar SMKS yang menyertai program HIP, semalam.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Program Highly Immersive (HIP) untuk memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional di seluruh negara tahun depan.

Usaha itu bagi memastikan lebih ramai pelajar dan penuntut kolej berkenaan mendapat pendedahan secukupnya, sekali gus mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) yang bertindak sebagai pelaksana program Kementerian Pendidikan, Zainab Yusof berkata, program mula diperkenalkan sejak Januari tahun lalu dilaksanakan di 5,500 sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional terpilih seluruh negara.

Katanya, walaupun setakat ini kejayaan HIP tidak boleh diukur namun ada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris ketara dalam kalangan pelajar yang menyertai program terbabit.

“HIP mengubah senario pembelajaran bahasa Inggeris kerana semua pelajar perlu menyertai aktiviti bersifat kritis dan kreatif, selain penekanan terhadap interaksi pelajar.

“Pendekatan digunakan HIP nyata berkesan kerana bukan saja menjurus kepada pembelajaran dalam kelas, tetapi di luar, sekali gus mendedahkan pelajar dengan penguasaan bahasa Inggeris secara lebih meluas.

“Menerusi HIP, tiada lagi pembelajaran bersifat sehala dengan hanya guru bercakap, tetapi pelajar akan menghidupkan aktiviti,” katanya pada program HIP yang disertai 300 pelajar tingkatan satu hingga lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKS), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMKS Omar Ahmad.

Katanya, pelaksanaan HIP bergantung kepada empat elemen iaitu guru besar atau pengetua, guru, pelajar serta ibu bapa dan masyarakat menggunakan pendekatan komunikasi dua hala.

“Kami mahu pembabitan menyeluruh ibu bapa dan komuniti dalam melaksanakan program HIP dan ia menjadi elemen utama keberkesanannya setakat ini. Justeru, kami menetapkan sasaran melaksanakan HIP di 10,000 sekolah dan kolej vokasional tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:23 AM