Antara suspek yang ditahan di rumah rakit di Kampung Hujung Tanjung yang diserbu dalam Op Sarang Khas Bersepadu.
Rumah rakit di Kampung Hujung Tanjung yang diserbu dalam Op Sarang Khas Bersepadu.


Kuala Nerus: Enam lelaki dan seorang wanita yang dipercayai menjadikan rumah rakit di Kampung Hujung Tanjung di sini, sebagai markas mereka melepaskan gian dadah ditahan polis dalam serbuan, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan dalam Op Sarang Khas Bersepadu jam 9.30 pagi itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang kampung dan kawasan sekitarnya mengenai kegiatan terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan, didapati dua lelaki terjun dari rumah rakit berkenaan selepas menyedari kehadiran polis sebelum mereka menyorok di bawahnya.

“Kami menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita di dalam rumah rakit berkenaan, manakala pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui tiga tiub penyedut minuman cerah setiap satu berisi dua pil warna merah, dua tiub penyedut minuman lagi berisi satu pil warna merah.

“Dalam pemeriksaan itu, kami juga menemui dua tiub penyedut minuman cerah setiap satu berisi serbuk putih, satu hulu lampu suluh aluminium dengan di dalamnya ada dua penyedut minuman dengan setiap satu berisi 10 pil warna merah dan satu tiub penyedut minuman lagi berisi lapan pil warna merah,” katanya.

Menurutnya, ketika mereka melakukan pemeriksaan, tiga lelaki yang menaiki bot menghimpit rumah rakit berkenaan turut ditahan selepas mereka dipercayai terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan kemudian menjumpai satu beg kecil berzip warna merah yang mengandungi satu tiub penyedut minuman berangkai lima dengan setiap satu berisi sebiji pil warna merah disyaki dadah.

“Kami juga menjumpai satu botol plastik cerah bertutup kuning berisi serbuk putih disyaki dadah yang disembunyikan dalam lampu bot berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki yang menyorok juga menyerah diri selepas mereka gagal melarikan diri kerana terperangkap di bawah rumah rakit berkenaan.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan ujian saringan air kencing mendapati enam lelaki yang ditahan itu positif dadah morfin, manakala wanita terbabit positif methamphetamine.

“Semua suspek kini direman seminggu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:33 AM