BOMBA memindah dan menyelamatkan wanita warga emas dalam kejadian banjir kilat di Batu 1, Jalan Lintang, Sungai Siput. FOTO Ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari


TIGA belas rumah membabitkan 66 penduduk di kawasan Batu 1, Jalan Lintang, Sungai Siput, dinaiki air akibat banjir kilat, hari ini.

Banjir kilat dipercayai berpunca daripada limpahan air sungai berhampiran, susulan hujan lebat bermula kira-kira 2 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Fauzi Hashim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 4.17 petang memaklumkan kejadian banjir kilat itu dan anggota terus ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.

Menurutnya, setibanya jentera di lokasi kejadian terdapat beberapa rumah sudah dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

"Banjir kilat dipercayai berpunca daripada air sungai berdekatan yang melimpah selepas hujan lebat.

"Bomba turut memindahkan wanita warga emas, manakala 65 penduduk lain di kawasan banjir itu keluar sendiri ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, bagaimanapun air semakin surut dan tiada pusat pemindahan dibuka.

"Operasi menyelamat tamat pada jam 5.44 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 9:29 PM