Hanis (kanan) bersama ibunya, Nur Hasni dan adiknya, Hanna. Hanis ketika menerima rawatan di Hospital Serdang baru-baru ini (gambar kiri). FOTO ihsan Nur Hasni Fadillah
Asrizal Aris


 

"DOAKAN Hanis semoga pembedahannya selamat 16 November ini," kata Nur Hasni Fadillah Hassan, 33, ibu kepada Nur Hanis Danisya Muhammad Syahidan, 7, kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Ketika Hanis berusia dua tahun, kanak-kanak itu mengalami demam panas dan disahkan mempunyai masalah jantung namun tidak serius.

Pertengahan tahun lalu, Hanis sekali lagi mengalami demam panas dan klinik tempat dia menerima rawatan meminta dia dibawa ke hospital sebelum dilaporkan menghidap jantung berlubang (Ventricular Septal Defect).

Nur Hasni berkata, pihak hospital memaklumkan jantung Hanis membesar dan berlubang 7 milimeter (mm) lalu menyarankan supaya Hanis menjalankan pembedahan yang dijadualkan pada 16 November ini di Hospital Serdang.

"Pada mulanya giliran Hanis untuk dibedah dijadualkan pada Jun lepas, tapi Hanis demam ketika itu dan ditunda pada November.

"Saya tidak mengharapkan sumbangan, sebaliknya minta orang ramai mendoakan pembedahan Hanis selamat supaya dia boleh membesar seperti kanak-kanak normal yang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sejak dilaporkan menghidap jantung berlubang Hanis kerap sesak nafas dan tidak boleh berasa penat.

Kata Nur Hasni, dia berharap kesihatan anak sulungnya itu beransur pulih selepas menjalani pembedahan dan kembali fokus kepada pelajaran yang banyak tertinggal.

"Hanis banyak tertinggal dalam pelajarannya kerana kerap cuti sakit tahun ini. Dia juga sudah tidak aktif seperti sebelum ini yang minat dengan pelbagai aktiviti luar.

"Saya harap dia boleh membesar dan bersekolah seperti kanak-kanak lain serta menjadi contoh yang baik kepada adiknya, Nur Hanna Dahlia berusia tiga tahun," kata guru Lukisan Kejuruteraan dan Matematik di sebuah sekolah menengah di Shah Alam itu.

Menurut ibu kepada dua anak itu, Hanis kini berada dalam keadaan stabil dan sedang bercuti di kampung halaman di Pekan, Pahang.

Katanya, dia berharap kekuatan anaknya melawan penyakit yang dialami menjadi inspirasi kepada kanak-kanak lain yang turut berjuang menghadapi penyakit jantung berlubang. 

Hanis akan dimasukkan ke Hospital Serdang pada 14 November sebelum menjalani pembedahan dua hari selepas itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 10:38 PM