Jenazah Ramli yang hilang di Gunung Damavand lebih setahun lalu tiba di Masjid Asy Syakirin dan disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 14 Puchong.  FOTO Zunnur Al Shafiq
Jenazah Ramli yang hilang di Gunung Damavand lebih setahun lalu tiba di Masjid Asy Syakirin dan disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 14 Puchong. FOTO Zunnur Al Shafiq
Suraya Roslan


JENAZAH pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, 2.05 petang hari ini.

Sebelum itu jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.20 pagi sebelum dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Taman Puchong Utama untuk solat jenazah dihadiri lebih 300 kenalan dan ahli keluarga.

Anak tunggal arwah, Muhammad Fauzi Ramli, 17, bersyukur kerana penantian hampir setahun akhirnya bernoktah dengan ‘kepulangan’ bapa ke tanah air.

“Walaupun pulang dalam keadaan tidak bernyawa, kami masih syukur sekurang-kurangnya ada pusara untuk dikunjungi.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan bertungkus lumus mencari arwah bapa selama ini dan menguruskan penghantaran pulang jenazah,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan hari ini.

Katanya, walaupun masih sedih, dia perlu melalui kehidupan seperti biasa terutama untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Isnin ini.

“Arwah kerap berpesan supaya melakukan perkara yang baik dan belajar bersungguh-sungguh serta menjaga ummi (Roslida Ablah) sebaiknya, saya akan ingat pesanan arwah selama-lamanya,” katanya.

Kali terakhir Muhammad Fauzi yang tinggal bersama datuknya di Pahang berjumpa dengan arwah pada September tahun lalu.

Pada 29 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahkan mayat yang ditemui oleh pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.

Mayat Ramli ditemui sekumpulan pendaki Iran ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter sebelum Palang Merah Iran menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Isteri arwah Roslida bersama abang arwah dan kenalan lain turut berada di Iran bagi membuat pengecaman sebelum jenazah dimandi dan dikafankan oleh pengurusan Pusat Pengebumian Behesht-e Zahra di Tehran.

Ramli hilang pada November tahun lalu bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Bagaimanapun, mayat Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang, manakala Ramli masih gagal dikesan sehinggalah ditemui setahun kemudian.

Berita berkaitan

Sah mayat Ramli

[UPDATE] Pakaian, peralatan jadi petunjuk

'Motivasi Ramli kental sentiasa diingati'

Dua bulan lalu dah dapat petunjuk [METROTV]

Bawah timbunan salji

Tenang dalam gelora

Mula edar foto

Masih tiada petunjuk baru

Belum ada tanda

Tiada petunjuk baru

Dua rakyat kita dikhuatiri hilang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 3:36 PM