PESERTA  SEA  Game Jam 2017 memerah otak mencari idea.
PESERTA SEA Game Jam 2017 memerah otak mencari idea.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Selepas kejayaan permainan mudah alih Ejen Ali dalam edisi pertama ‘permainan prototaip’ tahun lalu, Media Prima Labs meneruskan misi mencari bakat dan idea menarik dalam platform permainan mudah alih.

Menerusi SEA Game Jam 2017, seramai 87 peserta berlatar belakangkan pembangunan perisian berkumpul untuk mempersembahkan idea serta cadangan mereka.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi Nicholas Sagau Tony Ngimat berkata, semua peserta ini membawa permainan gred A mereka untuk membangunkan prototaip baru.

“Selama 36 jam, peserta bekerjasama bagi memastikan prototaip mereka memenuhi kriteria diberikan termasuklah kandungan, reka bentuk dan ciri lain.

“Objektif utama SEA Game Jam 2017 ialah membangunkan prototaip game terbaik yang mampu dikomersialkan kepada permainan bertaraf tinggi dalam industri permainan mudah alih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, semalam.

Nicholas Sagau berkata, semua peserta akan diberikan kumpulan dan setiap pasukan juara akan memperoleh hadiah wang tunai RM8,000, tempat kedua (RM5,000) dan RM3,000 tempat ketiga.

“Selain hadiah wang tunai, pasukan teratas akan berpeluang dipilih Media Prima Labs menerima dana tambahan sehingga RM50,000 untuk menambah baik demonstrasi permainan,” katanya.

Naib Presiden Kandungan Kreatif dan Teknologi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) Hasnul Hadi Samsudin berkata, segmen sukan elektronik (eSport) ini sudah menjadi semakin dominan.

“Secara amnya, kita sudah mencatatkan kejayaan membanggakan apabila rakyat Malaysia mampu menghasilkan permainan video berkelas dunia seperti siri permainan Final Fantasy.

“Inisiatif Media Prima Labs ini wajar dicontohi kerana memberi galakan dan ruang kepada pembangun perisian rakyat tempatan untuk menzahirkan kreativiti mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 7:23 AM