PENDUDUK Kampung Baru di Bedong di tangga rumahnya yang terjejas akibat banjir, semalam. FOTO Shahrizal Md Noor
Meor Riduwan Meor Ahmad


SETAKAT 8 pagi tadi, bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Kedah meningkat kepada 3,402 orang.

Angka itu bertambah berbanding 2,721 orang membabitkan 730 keluarga yang direkodkan setakat 8 malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri, Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, semua mangsa ditempatkan di 40 pusat pemindahan yang dibuka sejak malam kelmarin.

"Jumlah terkini mangsa banjir dipindahkan di 40 PPS ialah 3,402 orang membabitkan 938 keluarga.

"Daerah Kulim merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,762 orang daripada 456 keluarga yang ditempatkan di 15 PP, diikuti Kuala Muda seramai 1,250 mangsa membabitkan 363 keluarga di 19 PPS dan Yan, 251 keluarga daripada 70 keluarga.

"Bagi daerah Baling dan Bandar Baharu kekal satu pusat pemindahan dibuka, masing-masing merekodkan 114 dan 25 orang mangsa. Seramai 43 keluarga terjejas banjir dipindahkan bagi daerah Baling manakala, Bandar Baharu seramai enam keluarga," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik, Mukim Sungai Seluang, Kulim merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 563 orang membabitkan 154 keluarga setakat ini diikuti PPS Surau Kampung Lebai Ali di Mukim Semeling, Kuala Muda seramai 298 mangsa daripada 74 keluarga dan PP Surau Al-Ikhsan Karangan, Kulim (231 mangsa dan 45 keluarga).

"Tiga PPS di Daerah Kuala Muda merekodkan bilangan mangsa melebihi 100 orang iaitu di PPS Dewan Kg Lebai Ali, Semeling seramai 171 mangsa, PPS Surau Kampung Jawa (155) mangsa) dan PPS Dewan Kampung Sungai Pial, Mukim Merbok (171).

"Bagi daerah Kulim, PPS Tadika KEMAS Padang Limau menempatkan mangsa paling ramai iaitu 199 orang daripada 62 keluarga, diikuti PPS Sekolah Taman Selasih (150 mangsa, 38 keluarga), PPS Dewan Masjid Al Muqtadin (149 mangsa, 37 Keluarga) dan PP Surau Taman Sang Kancil (144 mangsa, 27 keluarga)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik selepas lawatan di Pulau Pinang.

Seramai 150 pegawai dan anggota Angkata Pertahanan Awam bertugas di lima daerah bagi melancarkan operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir bersama-sama agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 10:48 AM