ANGGOTA Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memeriksa 31 lori yang ditahan bagi menjalani proses timbang. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SEBANYAK 31 lori ditahan membabitkan 44 kesalahan dalam operasi dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di dua lokasi berasingan di Kuantan, hari ini.

Pengurus Besar Kanan Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi yang dijalankan secara bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengesan beberapa kesalahan dilakukan kenderaan berat berkenaan seperti melebihi muatan, melanggar syarat permit muatan dan menggunakan panel besi secara berlebihan.

Katanya, sebanyak 25 kes membabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan, 11 kes menggunakan panel besi secara berlebihan dan lapan kes melanggar syarat permit muatan.

“Semua kenderaan yang ditahan telah dikompaun dan berdasarkan siasatan kami ada lori yang sebelum ini pernah dikenakan saman beberapa kali namun masih melakukan kesalahan sama.

“SPAD tidak akan berkompromi dengan syarikat dan pemilik lori yang melakukan kesalahan berulang, mereka boleh dikenakan hukuman berat jika masih melakukan kesalahan sama,” katanya dalam sidang media selepas mengikuti operasi yang dijalankan di Jalan Kuantan-Pekan, Tanjung Lumpur, Kuantan, hari ini.

Operasi yang dijalankan bermula 7 pagi dan tamat pada 12 tengah hari itu turut dilakukan di Jalan Kuantan-Pekan, Inderapura Kuantan.

Che Hasni berkata, dalam masa sama sebanyak 22 kesalahan dikesan PDRM membabitkan lori yang diperiksa seperti tidak mempunyai alat pemadam api serta kesalahan pada nombor pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:31 PM