KHAIRY (tengah) bergambar bersama peserta seminar di PWTC.
Siti Salmiah A Hamid


Kuala Lumpur: Budaya mengecam dan memuat naik status kecaman ke media sosial adalah salah satu daripada lima ‘penyakit’ atau cabaran yang melanda generasi muda.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kecenderungan itu dianggap sebagai toksik dalam talian yang sarat dengan mesej kebencian sehingga mampu mengaibkan maruah seseorang.

Katanya, ia umpama bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa sekiranya masyarakat terutama ibu bapa terlepas pandang mengenai masalah sosial ini.

“Sudah tiba masanya kita mewujudkan satu ruang selamat dalam talian disebabkan terlalu banyak mesej bersifat negatif di media sosial sehingga tiada rasa belas kasihan terhadap perasaan orang lain. Lepas cakap je.

“Saya tiada masalah apabila dikecam di media sosial tetapi bagaimana dengan orang lain? Adakah mereka mampu mengatasinya?” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2017 (YOURS’17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Kaji selidik yang dibarisi sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, neurologi, perubatan dan komunikasi itu berusaha mencari kaedah terbaik menangani perkara ini.

Empat cabaran sosial lain membabitkan gejala sosial tradisional, gaya hidup sedentari, ketagihan skrin dan masalah kesihatan mental turut menjadi agenda sosial melanda generasi muda negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:42 AM