Kos perlu dibayar jemaah haji negara ini kekal RM9,980 bagi musim haji tahun depan biarpun berlaku kenaikan 15 peratus daripada kos sebenar.
Rizanizam Abdul Hamid


BAYARAN haji yang perlu dibayar jemaah haji negara ini kekal sebanyak RM9,980 bagi musim haji tahun depan biarpun berlaku kenaikan sebanyak 15 peratus daripada kos sebenar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah berkata, kos sebenar haji meningkat kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji lalu.

Menurut beliau, subsidi haji yang akan diberikan kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama adalah RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji.

"Ini bermakna, jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980, iaitu 44 peratus daripada kos haji.

"Kos haji kita kos yang paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengekalan bayaran haji itu dilaksanakan sejak 2009 atas inisiatif kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

"TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang menjadi tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kos yang tidak membebankan," katanya.

Johan berkata, demi kebajikan serta keselesaan jemaah haji, pelbagai kemudahan serta perkhidmatan disediakan oleh TH di Tanah Suci dan tanah air ditambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan.

"Ini termasuklah perkhidmatan kesihatan, kaunseling, bimbingan dan kewangan kerajaan yang sentiasa cakna dalam memartabatkan syiar Islam," katanya.

Jelasnya, TH memulakan proses penghantaran surat tawaran menunaikan haji secara berperingkat bermula Isnin lalu.

Sehubungan itu bakal haji yang berada dalam penggiliran kuota haji bagi tahun 1439H/2018M dan 1440H/2019M dinasihatkan mengemaskini maklumat peribadi dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:58 PM