KRU bot tunda diselamatkan APMM. (gambar kecil) Bot tunda yang hanyut akibat kerosakan enjin. FOTO Ihsan APMM.
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menyelamatkan lima kru selepas bot tunda mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut selama 32 jam sehingga memasuki perairan Thailand.

Pada kejadian itu, bot tunda milik syarikat Gimhwak Enterprise Sdn Bhd dan didaftarkan di Sibu, Sarawak dilaporkan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sandakan, Sabah.

Semua kru ditemui selamat oleh anggota APMM pada jarak kira-kira 50 batu nautika di barat perairan Langkawi, jam 9.50 malam semalam.

Pengarah Maritim Wilayah Utara APMM Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sejurus menerima aduan daripada pemilik bot dikenali Lee Shih Kang, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan Kapal Maritim (KM) Marlin.

“Pengadu mengatakan bot tunda itu didapati berubah haluan sebelum terputus hubungan.

“KM Marlin yang sedang melakukan Operasi Khas Satria Utara di perairan Perak diarahkan mengesan bot tunda itu sebelum ia ditemui,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Rozali berkata, pada peringkat awal, pihaknya mengalami sedikit kesukaran melakukan SAR ekoran bot tunda terbabit tidak dilengkapi alat untuk menghantar isyarat kecemasan bagi memudahkan pasukan SAR mengesan kedudukan mereka.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan kebenaran daripada pihak berkuasa Thailand.

“Bot tunda terbabit ditunda ke jeti APMM di Bukit Malut, Langkawi.

“Saya menasihati semua komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan faktor keselamatan serta memasang peralatan kecemasan lengkap di bot masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 5:31 PM